Wednesday, December 17, 2008

AUKU (Pindaan) 2008... Adakah hak mahasiswa telah terbela?

BANGI : Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) menyifatkan pewartaan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2008 (AUKU) yang melibatkan 61 pindaan pada 11 Disember lalu oleh Dewan Rakyat sebagai mengecewakan dan tidak profesional.


Hal ini kerana kesemua fasal dalam pindaan AUKU telah diluluskan tanpa adanya pindaan yang sebelum ini disuarakan oleh mahasiswa seperti pemusatkan kuasa di pihak menteri, keterbatasan mengeluarkan pendapat dan pelaksanaan AUKU secara terpilih.


Setiausaha Kerja GMUKM, Hishamuddin Abdullah menyifatkan pewartaan AUKU (Pindaan) 2008 jelas tidak memuaskan hati para mahasiswa yang mahukan diri mereka dilayan seperti warganegara berumur 21 tahun ke atas.


“ Pindaan ini telah berjaya mengunci mulut dan mengikat tangan mahasiswa daripada memberikan pendapat serta bersuara dalam pelbagai bidang dan hanya dibolehkan dalam pengkhususan pengajian mereka sahaja manakala sebum mahasiswa memberi pendapat dalam sesuatu majlis, majlis tersebut hendaklah diluluskan oleh menteri dan ini sesuatu yang pelik dalam suasana kebebasan maklumat ini”, ujarnya


Dalam Seksyen 15 (6) (b) AUKU (Pindaan) 2008 telah diperuntukkan bahawa mahasiswa hanya dibenar bersuara dalam hal berkaitan akademik dan dibenarkan memberi pendapat dalam seminar dan simposium dengan syarat majlis tidak dianjurkan atau diberi peruntukan kewangan oleh parti politik, pertubuhan menyalahi undang-undang serta pertubuhan, badan atau kumpulan yang dikenal pasti oleh menteri sebagai tidak sesuai.


Tambahnya lagi bahawa pindaan ini turut menyekat hak mahasiswa untuk menganggotai parti politik dan kebenaran hanya dibolehkan apabila segala butiran peribadi diberikan kepada Naib Canselor untuk kelulusan dan rekod Universiti melalui peruntukkan Seksyen 15 (4) Akta AUKU ini.


" Persoalan di sini ialah beberapa ramai yang berani memberikan butiran peribadi kepada pihak Universiti berkaitan parti politik yang ingin dianggotai mereka dan adakah terdapat jaminan bahawa data tersebut tidak digunakan sebagai ugutan ataupun kawalan pihak Special Branch?”, Soalnya.


“ Tidakkah pelik apabila mahasiswa dibenarkan mengundi parti politik, tetapi dilarang menjadi anggota parti sedangkan mahasiswa luar negara boleh menyertai politik melalui Kelab UMNO luar negara dan alasan sekiranya tugas mahasiswa adalah belajar dan bukan berpoltik merupakan hujah sempit dan tidak memahami bahawa politik itu luas, iaitu termasuk pendidikan politik, isu politik, politik non-partisan dan sebagainya,” ujarnya.


Langkah pewartaan AUKU itu juga, katanya jelas bahawa peruntukkan hak mahasiswa berpolitik tidak lagi sepenuhnya dilakukan dalam AUKU baru ini walaupun ada pengecualian, dan pihak kerajaan masih tidak dapat menerima hakikat bahawa mahasiswa perlu terlibat dalam politik seiring dengan hak mereka mengundi setelah berumur 21 tahun di negara ini.


“ Selain itu mengapa tidak diwujudkan peruntukkan undang-undang berkaitan sikap menteri dan Naib Canselor serta Lembaga Pengurusan Universiti yang bertindak diluar bidang kuasa (ultra vires) dan menzalimi mahasiswa yang tidak bersalah?,” Soalnya.


Hishamuddin menambah bahawa GMUKM turut menerima beberapa pindaan yang dilakukan dalam Akta AUKU 2008 ini yang menurut beliau, hak semulajadi mahasiswa kerana mempunyai nilai demokrasi yang selari dengan undang-undang negara dan perlembagaan negara.

Antaranya pemimpin parti politik, termasuk pembangkang boleh memberi ceramah kepada mahasiswa di kampus, mereka yang melakukan kesalahan mengikut AUKU, tidak lagi akan dihadapkan ke mahkamah dan akan hanya dihadapkan di Tribunal Universiti, diberikan peluang yang munasabah untuk didengar (right to be heard) atas sesuatu tuduhan sekiranya ia dibawa ke hadapan tribunal serta pelajar boleh melibatkan diri dengan mana-mana organisasi sama ada di dalam dan di luar universiti tempatan atau luar negara .

Walaubagaimanapun menurut beliau, ia tidak lebih sekadar kosmetik yang menutup mulut ramai pengkritik sedangkan dari segi prinsip dan falsafah, jelas AUKU 2008 tetap mendiskriminasi mahasiswa sebagai seorang warganegara merdeka.


“ AUKU Pindaan 2008 ini tidak lebih sekadar gincu merah yang menyembunyikan kehodohan AUKU itu sendiri yang jelas membunuh hak asasi mahasiswa dan dilayan sebagai warganegara kelas kedua”


“ Tidak bolehkah mahasiswa dilayan seperti warganegara lain dalam soal kebebasan menganggotai politik, kebebasan bersuara, hak untuk melakukan semakan ke atas kuasa menteri dan juga hak untuk memilih persatuan yang digemarinya selari dengan perlembagaan negara?”, Soalnya.


Katanya, pindaan itu dilakukan ekoran perkembangan semasa geopolitik negara selepas Pilihanraya Umum lalu yang menunjukkan protes pengundi muda terutama mahasiswa kepada kerajaan dan pindaan dilihat sebagai satu pindaan tidak ikhlas dan bukannya untuk kebajikan serta hak asasi pelajar universiti.

“ Sebenarnya, rakyat Malaysia sudah mengakui bahawa AUKU diletakkan sebaris dengan Draconian Acts seperti ISA 1960, Akta Hasutan 1948, Akta Media Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan beberapa Akta lain yang bersifat kezaliman kepada rakyat Malaysia dan untuk itu, GMUKM ingin mecadangkan kepada pihak kerajaan agar mengubah perspepsi tersebut dengan memansuhkan terus Akta tersebut,” ujarnya

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kekesalan dengan tuduhan melulu Yang Berhormat Datuk Tajuddin Abdul Rahman , yang menyatakan bahawa mahasiswa malas membaca dan menyatakan ucapan ahli parlimen Pasir Salak itu telah mengguriskan 0.7 juta mahasiswa di negara ini

GMUKM mendesak ahli Parlimen itu memohon maaf kepada seluruh mahasiswa di 20 institusi IPTA dan 500 IPTS di seluruh negara termasuk mahasiswa di luar negara.

“ Memang diakui ada mahasiswa yang malas membaca tetapi bukan semuanya mahasiswa bersifat demikian dan tidak boleh dikatakan kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semua orang terkena palitan lumpur tersebut,”

Katanya lagi bahawa pihak Aspirasi yang dibonekakan oleh Hal Ehwal Pelajar inilah yang menyebabkan wujudnya sindrom tersilap-didik (miseducate) mahasiswa dari sudut keintelektualan kerana pihak Aspirasi ini secara faktanya, lebih suka menganjurkan penganjuran program bercorak hedonisme yang menyebabkan mahasiswa malas untuk menjadi ’ulat buku’.

Taktik kotor Kementerian Pengajian Tinggi

Antara arahan KPT dan strategi yang dirancang:

KENAPA??

Istilah Pilihan Raya Kampus (PRK) ditukar kepada Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)

-Istilah PRK setanding dengan Pilihan Raya Umum ( PRU) dan bakal membangkitkan kebangkitan mahasiswa.

-Oleh itu kalimat ini wajar dihapuskan supaya mahasiswa tidak dapat merasa seperti suasana pilihan raya di luar kampus.

-Katanya, cukuplah dengan kalimat PEMILIHAN seperti memilih ketua kelas ketika di bangku sekolah dan tadika sahaja (alahai…)

Perkataan “MAHASISWA” ditukar kepada “PELAJAR” sahaja.

-Istilah “MAHASISWA” boleh membawa rasa “self esteem” yang tinggi di kalangan mahasiswa.

-Oleh itu KPT mengarahkan semua universiti menggunakan nama ‘Majlis Perwakilan Pelajar’ bukan lagi ‘Majlis Perwakilan Mahasiswa’.

-Mahasiswa dilarang menunjukkan ‘taring’ sebaliknya kaki ampu, kaki bodek! Sedia akur dan jangan bersikap kritikal dan berlawanan dengan pihak pentadbiran universiti, apatah lagi kerajaan BN-UMNO.

Poster-poster calon hanya dikeluarkan oleh HEP. Calon dilarang mencetak poster sendiri. Kreativiti calon tidak perlu dan dilarang. Cukuplah menunggu poster bersaiz A4 dari HEP bagai pak turut.

-Cuba kita tanya, adakah itu cara HEP membentuk kepimpinan dan kreativiti mahasiswa? Semua disediakan, semua disuapkan, mahasiswa dilayan seperti ROBOT, seperti PATUNG layaknya!mahukah kita mempunyai seorang pemimpin mahasiswa seperti pak pacak atau lembu dicucuk hidung?

-harus diingat sahabat pemimpin mahasiswa bukan hanya berperanan sebagai jawatankuasa pelaksana aktiviti universiti, tetapi juga sebagai TERAS PERUBAHAN masyarakat dengan nilai intelektual, keseimbangan emosi dan iman.

KPT telah dan akan mengeluarkan perbelanjaan yang besar kepada HEP untuk menganjurkan kursus calon dan JENTERA ASPIRASI-pro UMNO sebagai persiapan

-sebaliknya calon bukan dari ASPIRASI-pro UMNO DIANAKTIRIKAN dan tiada bajet langsung untuk kursus calon, beli borang, siapkan banner dan sebagainya bagi persiapan calon..apatah lagi bajet untuk jentera bukan ASPIRASI jangan harap.

-jelas sekali mahasiswa telah DIPERBODOHKAN!! Apakah permainan padang yang tidak sama rata ini ADIL dan ‘GENTLEMAN’ ?

-Sebenarnya sahabat, setiap tahun bajet ini dikeluarkan kepada TTNC dan Dekan HEP berjumlah ribuan ringgit dalam bentuk wang tunai!

Oleh itu, jangan hairan kalau calon ASPIRASI menang mudah banyak kerusi kerana dibelakang mereka adalah KPT, yang sepatutnya bertindak sebagai badan bebas dan adil kendalikan PRK.

-Seolah-olah bagaikan Yahudi yang menaja calon-calon Amerika Syarikat. Siapakah yang dapat beri jaminan wang tunai berjumlah ribuan ringgit ini, tidak disalahgunakan oleh TTNC dan Dekan HEP? Kami cabar Cancelor dan Naib Cancelor menyiasat kenyataan ini!

Calon bukan ASPIRASI-pro UMNO tidak dibenarkan bertanding secara berkumpulan

-kerana mereka takut ini akan membentuk kekuatan kepada mereka.

-calon bukan ASPIRASI hanya dibenarkan bartanding atas kapasiti individu. Begitulah “double standard” HEP kepada mahasiswa/calon bukan ASPIRASI-pro UMNO.

-tetapi dalam masa yang sama HEP secara terbuka muka tak tahu malu, membentuk dan menaja calon-calon ASPIRASI secara kumpulan dengan mengadakan kursus calon dan jentera, juga membuat pengumuman dengan memberi arahan, mengugut mahasiswa mengundi calon mereka.memang muka tak tahu malu..

-sahabat sedia maklum, HEP adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di kampus. Bayangkan sahabat, HEP yang membuat peraturan pilihan raya tetapi mereka jugalah yang MENODAI dan MENCABULI peraturan tersebut!!

Proses penggundian secara e-voting kononnya lebih telus, mesra pengguna dan berintegriti, selain menjamin keputusan pemilihan lebih cepat dan tepat.

-pertama, bolehkah pihak KPT memberi jaminan dengan kenyataan tersebut, sila buktikan.

-kedua, sejauh mana ketelusan e-voting? Dimanakah letaknya laungan demokrasi yang mahasiswa perjuangkan? Semua orang tahu melalui e-voting kita dapat tahu siapa yang mengundi dan siapa yang diundinya.

Sunday, November 16, 2008

Blogs senjata baru perang politik

Ekstrak dari: 'Di luar lingkaran' oleh Johan Jaaffar
Berita Minggu 16 November 2008


Dalam Pilihan Raya Umum tahun 2013 kelak, dua juta pengundi baru akan mengundi. Mereka merupakan sebahagian daripada lebih empat juta pengundi baru, termasuk mereka yang layak mengundi pada tahun2004 tetapi tidak mendaftar. Pengundi muda pada dasarnya menentang establishment dan mereka tidak mempunyai bagej emosi dan sentimen. Mereka celik komputer dan terdedah pada pelbagai teknologi. Mereka mendapat banyak maklumat dan berfikiran kritikal.

Satu elemen yang mencorakkan landskap politik menjelang pilihan raya 2008 ialah peranan yang dimainkan oleh web blogs atau blogs. Wahana yang pada mulanya tempat berinteraksi sosial menjadi senjata baru dalam perang menawan hati dan perasaan. Di dalam buku Blogging and Democratisation in Malaysia: A New Civil Society in the Making, Jun-E Tan dan Zawawi Ibrahim melihat fenomena blogging secara ilmiah sambil mengingatkan pembaca tentang pengaruh bloggers sebagai "thought leaders" (pemimpin minda) bagi generasi baru. Kelompok yang dipanggil "socio-political bloggers" ini mulai mencorakkan agenda pemikiran politik.

Bagi generasi baru, maklumat tidak datang dari media arus perdana sahaja. Malah penolakan langsung terhadap media arus perdana yang dikatakan pro-pemerintah menyebabkan mereka mencari pilihan lain. Apapun yang tersiar dalam media arus perdana dianggap tidak benar atau propaganda. Maka itu mereka mencari media alternatif sebagai sumber maklumat walaupun kredibiliti sumber itu boleh dipertikaikan.

Bagi banyak pihak, kemunculan suara alternatif melalui kegiatan blogging ini mencerminkan kematangan proses demokrasi negara. Maklumat bukan lagi monopoli mana-mana pihak. Kebebasan bersuara menjadi kenyataan akibat kegiatan blogging. Ini proses yang dimahukan dalam usaha melahirkan masyarakat cerdik, celik dan terbuka. Malah inilah sebenarnya prasyarat sebuah masyarakat sivil.

Tuesday, November 11, 2008

Salam Peperiksaan


Selamat menjalani peperiksaan semester 5 kepada pelajar Diploma Kejururawatan Tahun 3 pada minggu hadapan. Semoga dipermudahkan dalam menjawab soalan...

Sunday, November 2, 2008

PMUKM sudah sah dibubarkan!

Akhirnya perkara yang ditunggu-tunggu oleh semua mahasiswa di UKM telah tiba. Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM telah dibubarkan secara rasminya oleh Prof. Dato' Dr. Mohd Wahid Samsudin, TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, pada 1 Oktober 2008 lalu. Ini bermakna, tarikh penamaan calon akan berlangsung 60 hari dari tarikh 1 Oktober 2008. Maksudnya, pada 30 Disember kita akan melalui proses penamaan calon. Dan selepas itu, selang 2 atau 3 hari, akan berlangsungnya pembuangan undi mengikut peruntukkan Peraturan 8 (1) Peraturan-Peraturan Pemilihan (Penjalanan Pemilihan) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2007.

Namun apa yang dihairankan, surat rasmi yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni pada 20 Oktober lalu, padahal notis di dalamnya menyatakan bahawa MPP UKM telah tamat tempoh mulai 1 Oktober 2008. Mengapa pula notis pembubaran tersebut tidak diwar-warkan kepada mahasiswa dan tidak ditampal di setiap kolej, fakulti atau mana-mana tempat di UKM???

Sila klik pada gambar untuk besarkan.

Inilah satu penipuan, satu pencabulan demokrasi yang dimainkan oleh pihak pentadbiran. Mereka secara terang-terangan telah memperbodohkan mahasiswa dengan melambatkan pengumuman tarikh pembubaran MPP. Namun begitu, sepandai-pandai tupai melompat, ternyata penyelewengan maklumat tersebut adalah satu tindakan pembohongan yang tidak berjaya.

Oleh itu, Gabungan Mahasiswa PPUKM menyeru kepada semua mahasiswa yang sudah muak dengan siri penyelewengan pihak pentadbiran dan Aspirasi agar memberikan peluang kepada Gabungan Mahasiswa untuk menerajui pucuk pimpinan MPP UKM pada sesi akan datang. Buktikan kepada mereka bahawa anda sebagai seorang mahasiswa yang intelektual, sudah jemu dan muak dengan cara pentadbiran PMUKM-Aspirasi. Buktikan bahawa anda mahukan perubahan, perubahan yang menjadikan kepentingan mahasiswa sebagai prioriti, yang hanya dapat dicapai dengan bangkitnya Gabungan Mahasiswa dalam pilihanraya kampus akan datang.

Baca selanjutnya di gm-ukm.blogspot.com. Klik di sini.


"Harapan Baru Mahasiswa"

Wednesday, October 29, 2008

Dari meja editor

Bismillahirrahmanirrahim...


Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah SAW, ahli keluarga dan sahabat baginda, serta pejuang risalah Islam yang tetap tegar menegakkan panji Ad-Deen yang kita cintai...

Alhamdulillah, akhirnya Gabungan Mahasiswa di Pusat Perubatan UKM dapat mewujudkan satu blog rasmi yang diberi nama SUARA MAHASISWA, selaras dengan penerbitan risalah rasminya, juga diberi nama SUARA MAHASISWA.

Diharap dengan wujudnya blog ini, para penuntut di PPUKM ini akan mendapat info dan maklumat terbaru tentang isu yang membabitkan mahasiswa yang sedang melanda, bukan hanya di PPUKM, malah di UKM khususnya dan di seluruh negara amnya....

Akhirul kalam, pihak editor SUARA MAHASISWA memohon kemaafan di atas sebarang kekurangan yang terdapat dalam blog ini. Diharap blog ini menjadi satu wadah kecil yang bermanfaat untuk menyalurkan suara dan kehendak mahasiswa di PPUKM ini.

"Harapan Baru Mahasiswa"